Friday, 15 February 2013

Kenali Villa Sentosa

Villa bermaksud besar manakala Sentosa ialah 'peace and harmony'. Villa Sentosa juga dikenali dengan 'the malay living museum' kerana ahli keluarganya masih hidup lagi dan tinggal dirumah ini. Sejak 1960 lagi iaitu semasa Datuk Haji Hashim masih hidup lagi telah menggalakkan para pengunjung untuk melawat ke Villa Sentosa ini baik dalam dan luar negara.


Pandangan hadapan Villa Sentosa yang sangat cantik 



Allahyarham Datuk Haji hashim, Pengasas Kampung Morten



villa sentosa 'malay living museum'

Villa Sentosa juga sering dikunjungi oleh para pembesar seperti DYMM Yang Dipertua Agong dan Isterinya serta Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Duli Yang Maha Mulia Yang dipertuaan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong ke 11, DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj dan DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Siti Aishah bergambar diatas pelamin dan diapit oleh Ketua Menteri Melaka,  Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan isterinya.

pelancong asing yang datang berkunjung

Tambahan pula, rumah ini juga menyediakan buku lawatan dimana para pengunjung boleh menanda tangan dan memberi komen hasil daripada kunjugan ke Villa Sentosa ini. Buku lawatan ini bermula sejak tahun 1960-1991 iaitu hanya sebuah buku sahaja disediakan. Apabila menjelang tahun 1992, Villa Sentosa ini telah dikenali ramai secara tidak langsung  buku pelawat perlu diganti setiap tahun kerana para pengunjung ingin menanda tangan sebagai kenangan mereka. 


buku pelawat yang telah dikumpulkan sejak tahun 1960 sehingga sekarang

s
Selain itu, jenis rumah ini ialah rumah limas melaka dimana terdapat  beberapa bahagian iaitu anjung,serambi, rumah ibu, kelek anak, pelantar, rumah dapur dan dapur. Rumah ini tidak diubah suai sejak dibina lagi cuma ada beberapa kerosakan yang dibaiki dan dibetulkan. Di bahagian dapur telah dirobohkan kerana telah dimakan oleh anai-anai dan digantikan dengan dinding batu dan lantai marmar. Manakala tangga dari dapur sehingga ke anjung adalah bahagian asal rumah ini.




   
  

Thursday, 14 February 2013

Villa Sentosa berbentuk limas

Rumah limas mempunyai ‘bumbung lima’ atau ‘limas’ (atap perisai). ‘Bumbung lima’ ialah jenis yang ada lima perabung atau empat perabung seperti piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf . Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya yang dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).

Rumah limas Johor mempunyai bentuk asas yang sama iaitu dibina sederhana tinggi.  Cara untuk mengenal pasti rumah limas Johor  ialah melalui bumbung rumahnya iaitu mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjak langit . Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil serambi dan di hujung serambi ialah ruang anjung. Rumah ini dibuat daripada kayu cengal, keranji, perak dan meranti. Rumah limas mempunyai bilik yang lebih daripada satu. Hal ini demikian merangkumi bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki, bilik tidur anak perempuan dan bilik tidur tetamu.

Garis besar rumah Limas terdiri daripada lima bahagian iaitu anjung atau serambi, rumah ibu, kelek anak, pelantar, rumah dapur dan dapur. Pada bahagian depan rumah terdapat tangga dengan anak tangga berjumlah ganjil. Bahagian dalamnya pula berupa pelataran yang luas. Ruangan ini dijadikan pusat berkumpul pada majlis-majlis seperti kenduri dan majlis Marhaban. Ruang tamu sekaligus akan dijadikan ‘ruang pamer’ untuk menunjukkan kemakmuran pemilik rumah.  Ruang bahagian belakang digunakan sebagai dapur.

Dengan istilah lain, bahagian depan digelar ‘rumah ibu’ (sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga), bahagian tengah ataupun pelantar yang menjadi tempat kerja basahan atau basuhan dan bahagian belakang ialah ‘rumah dapur’.Kebiasaannya pada bahagian hadapan rumah mesti mempunyai bahagian lantai yang lebih rendah daripada aras rumah ibu. Bahagian tersebut berbumbung namun selalunya tak berdinding dan cuma berpagar susur (railings). Bahagian ini juga dipanggil ‘serambi’, ataupun ‘selasar’. Ruang ini menjadi tempat pengantara di antara bahagian luar rumah dan dalam rumah untuk tujuan melakukan pekerjaan, beristirahat atau menerima tetamu yang bukan muhrim.

Pengasingan antara bahagian ini dilihat sebagai sesuai dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pembahagian bahagian-bahagian rumah dapat mengelak daripada kebakaran. Hal ini demikian kerana kebakaran selalunya berpunca daripada api masakan. Oleh itu, jika bahagian dapur terbakar, lebih mudah untuk mengawal bahagian lain daripada terbakar. Tambahan lagi, sekiranya pemilik rumah ingin memperbesar rumah, struktur rumah tengah pula boleh ditambah di antara Rumah Ibu dan Rumah Dapur. Struktur rumah limas yang terangkat atas tiang dilihat dapat menambah pengudaraan. Hal ini demikian juga disesuaikan dengan gandingan pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, yang berguna untuk kemasukan angin dan cahaya.


Sifat paling ketara pada rumah limas adalah pada struktur binaannya yang didirikan di atas tiang. Kelebihan yang diperolehi daripada ‘keterapungan’ ini; termasuklah mengelakkan daripada mudah dimasuki haiwan liar, dan dapat mengelak air daripada masuk ke rumah jika berlaku banjir. Rumah juga akan lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong pada bahagian bawah rumah (juga disebut ‘polong’) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan barang.
Unsur sufisme dalam seni bina rumah limas adalah sebagai satu perumpamaan kubur supaya sentiasa mengingati kematian. Dengan itu, manusia akan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengamalkan perkara yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Konsep ini dapat dilihat pada rumah limas yang mempunyai petunjuk langit pada bahagian hujung kiri dan kanan bumbung dan berbentuk batu nisan. Unsur ini juga sebagai perlambangan bahawa manusia mendapat cahaya daripada langit.


Tuesday, 12 February 2013


Legasi Kampung Morten

Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium hidup.




RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.
Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.
Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.
Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh.
Kampung itu terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.
Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri. Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.
Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.
Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.
Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.
Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.
Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.
Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.
Villa Sentosa
Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad.


ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise.


Khazanah itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.
Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun 1920.
Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya terus menjaga warisan berkenaan.
Villa Sentosa juga dikenali sebagai The Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.
Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.
Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang digantung di dalam bilik pengantin.
Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.
Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.


RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium.


Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.
"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget lambak.
"Persembahan ini diadakan sekali setiap bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan kepada pengunjung.
"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran, memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.
Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang. - Bernama


Sumber dari Kosmo.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2KyGwotrM